Solat Berjemaah Bagi Wanita

/
1 Comments

سْــــــــــــــمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْـــــمِ

Solat berjemaah tidak diwajibkan bagi kaum wanita berdasarkan sepakat ulama. Tetapi solat berjemaah ini amat digalakkan.

Walaupun wanita digalakkan solat berjemaah di rumah berbanding lelaki yang lebih digalakkan berjemaah di masjid, namun tiada tegahan bagi wanita untuk solat di masjid berjemaah, apatah lagi di rumah. Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

"Janganlah kalian melarang wanita-wanita kalian (untuk pergi ke) masjid dan rumah-rumah mereka lebih baik bagi mereka."
(Riwayat Ibn Khuzaimah)


Solat Muslimah Di Belakang Imam Muslimah

Solat jemaah wanita di belakang imi wanita adalah harus berdasarkan dalil-dalil berikut:

• Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Solat berjemaah lebih utama daripada solat bersendirian dengan 27 (darjat)." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
• Tidak ada larangan bagi seorang wanita menjadi imam bagi jemaah wanita
• Solat berjemaah sesama jemaah wanita pernah dilakukan oleh Ummul Mukminin Aisyah r.ha. dan Ummu Salamah r.a.

Abdul Razzaq meriwayatkan dalam al-Musabbaf:

"Bahawasanya Aisyah r.ha. mengimami para wanita dan berdiri di tengah-tengah mereka (saf depan) dalam solat wajib."

Diriwayatkan daripada Ammar al-Dihni daripada seorang wanita daripada kaum yang bernama Hujairah, daripada Ummu Salamah, bahawa beliau (Ummu Salamah) mengimami mereka (kaum wanita). Beliau berdiri (pada saf awal) di tengah-tengah mereka.

Perlakuan Ummul Mukminin di atas menjadi dalil disyariatkan kepada wanita yang menjadi imam dalam solat jemaah wanita. Tambahan lagi tiada dalil yang menegahnya.


Siapakah Yang Layak Menjadi Imam.

Sekiranya sekumpulan wanita solat bersama, maka wanita yang paling baik bacaannya itulah yang paling layak menjadi imam. Jika semunya sama, maka yang ada ilmu tentang sunnahlah diberikan prioriti.
Seandainya para wanita melakukan solat di rumah seseorang antara mereka, maka tuan rumahlah yang paling berhak untuk menjadi imam kecuali jika diizinkannya kepada orang lain.

Ibn Mas'ud al-Anshari meriwayatkan hadis Rasulullah s.a.w., sabda Baginda yang bermaksud:

"Yang berhak mengimami solat ialah orang yang paling bagus atau paling banyak hafalan al-Qurannya. Kalau dari segi al-Quran kemampuannya sama, maka dipilih yang paling mengerti tentang sunnah. Kalau dalam sunah juga sama, maka dipilih yang terlebih dahulu berhijrah. Yang terlebih dahulu berhijrah pun sama, pilih yang terlebih dahulu masuk Islam. Janganlah seseorang mengimami orang lain dalam wilayah kekuasaannya, dan janganlah ia duduk di rumah orang lain di tempat duduk khusus untuk tuan rumah tersebut kecuali dengan izin daripadanya."


Kedudukan Saf Jemaah Muslimah

Jika seorang wanita menjadi imam dalam solat berjemaah dalam kalanganwanita muslimah, maka dia perlulah berdiri di tengah-tengah jemaah, bukan didepan makmum. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis Sayidatina Aisyah dan Ummu Salamah sebelum ini.

Jika kaum wanita melakukan solat berjemaah yang jauh daripada kaum lelaki, maka saf yang paling awla bagi mereka ialah saf pertama. Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada (mereka) yang berada pada saf-saf depan."
(Riwayat Abu Daud dan al-Nasa'i)

Namun disebaliknya jika wanita solat di belakang jemaah lelaki, maka saf yang terbaik ialah saf terakhir dan saf yang paling buruk islah saf paling depan.

Berkaitan menguatkan suara semasa menjadi, adakah dibolehkan hal demikian dalam solat jemaah wanita? Menurut Ibn Qudamah dalam al-Mughni, imam boleh menguatkan suaranya pada tempat-tempat tertentu bacaan. Namun jika ada lelaki berdekatan, maka tidak harus melainkan jika lelaki tersebut mahramnya.

Kesimpulannya, renungilah pesanan Rasulullah s.a.w. ini, maksudnya:

"Sesiapa yang melaksanakan solat berjemaah selama 40 hari tanpa melewatkan takbiratulihram dalamnya, dia pasti akan dibebaskan daripada dua perkara; kemunafikan dan api neraka."
(Ihya' Ulum al-Din)




You may also like

1 comment: